China – Tindakan tahyulnya seorang wanita yang hanya mahu memastikan perjalanannya berjalan dengan lancar dan selamat telah menyebabkan penerbangan China South Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong tertunda selama beberapa jam.
Menurut polis, wanita yang hanya dikenali sebagai Qiu itu telah membaling segenggam duit syiling ke dalam engin pesawat Airbus 320 untuk berdoa supaya penerbangan itu selamat sampai.
Penumpang pesawat itu menyatakan mereka melihat Qiu yang dianggarkan berumur 80 tahun, membaling beberapa syiling dari tangga ketika menaiki pesawat.
Menurut South China Morning Post, krew pesawat telah mengarahkan penumpang yang sudah menaiki pesawat untuk turun semula supaya jurutera boleh melakukan pemeriksaan lanjut dibahagaian enjin.
Setelah pemeriksaan, mereka menemui satu syiling di dalam enjin pesawat manakala lapan keping syiling lagi di tanah berdekatan pesawat.
Penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun itu akhirnya telah berlepas selepas lima jam tergendala.
Qiu yang sedang melancong bersama keluarganya, telah ditahan oleh pihak polis.