Kuala Lumpur: Polis hari ini menahan pemandu
Ford Fiesta yang melarikan diri sebaik melanggar Nissan Almera di Kilometer 24
Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, berdekatan Rawang, Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT)
Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad berkata, suspek lelaki 20-an terbabit
ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Rawang, 12 tengah hari tadi.
Katanya, siasatan mendapati kemalangan membabitkan dua
kenderaan itu berlaku pada 6.55 pagi.
"Kemalangan berlaku apabila pemandu Nissan Almera
yang menghala dari Kepong ke Rawang dilanggar di belakang oleh kenderaan suspek
yang melarikan diri.
"Bagaimanapun, kemalangan itu hanya mengakibatkan
kerosakan kenderaan sahaja dan tiada kecederaan serius kepada dua pemandu kereta
terbabit.
"Kejadian menjadi tular apabila video memaparkan
kemalangan itu dimuatnaik di Facebook dan susulan itu suspek yang juga penjawat
awam menyerah diri, hari ini," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut mengikut
Seksyen 4(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Rakaman video selama 41 saat terbabit memaparkan kereta
dipercayai milik suspek dipandu laju sebelum merempuh kenderaan mangsa.
Bagaimanapun,
suspek tidak menghentikan kenderaan selepas kemalangan dan terus memecut bagi
melarikan diri.