Kuala Lumpur: Lebih 25,000 orang mendaftar
bagi menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah bernilai RM1 juta sempena
Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 setakat ini.
Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata,
ahli UMNO yang turut berdaftar sebagai pengundi berpeluang menyertai cabutan
bertuah yang menawarkan tujuh kereta nasional dan 10 motosikal sehingga tempoh
pendaftaran menerusi aplikasi Malaysia4All yang berakhir 10 Mei ini.
“Hadiah ini diberikan kepada UMNO sempena ulang tahun
parti dan kami menerima sumbangan ini, tetapi dipanjangkan kepada pendukung
serta penyokong setia parti.
“Bagaimanapun, mereka yang layak memenangi cabutan bertuah
perlu menjadi ahli UMNO dan berdaftar sebagai pemilih serta perlu hadir di
Stadium Bukit Jalil pada hari sambutan ulang tahun parti,” katanya selepas
mempengerusikan mesyuarat Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 bersama pengurusan
kanan Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MPB Datuk Seri
Amrin Awaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd
Datuk Abdul Jalil Hamid, Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa
Rangkaian Televisyen MPB Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah, Pengarang Kumpulan
Berita Harian Datuk Mahfar Ali, Pengarang Kumpulan New Straits Times Yushaimi
Maulud Yahaya dan Penulis Khas Kanan Harian Metro Tuan Mohd Asri Tuan Hussein.
Ab Rauf berkata, mesyuarat membincangkan persediaan
terakhir sambutan ulang tahun parti itu bersama pengurusan kanan MPB selaku
penyiar rasmi termasuk kaedah bagi melicinkan perjalanan program menjelang 11
Mei ini.
Menurutnya,
Pergerakan Pemuda UMNO juga turut menganjurkan karnival kerjaya yang menawarkan
lebih 7,500 peluang pekerjaan pada 10 dan 11 Mei ini serta orang ramai yang
berminat boleh terus menghadiri temu duga disediakan pihak terbabit.