Penyebab isteri saya berubah sikap secara mendadak

Sejak seminggu dua kebelakangan ini, fikiran saya amat terganggu. Sebenarnya ia lebih kepada isu rumah tangga yang agak sulit untuk saya atasi. Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan prestasi dan tumpuan saya terhadap tugas seharian di pejabat.
Penyebab isteri saya berubah sikap secara mendadak
Segala tindakan yang saya lakukan bagaikan tak kena. Semuanya gara-gara isteri saya yang bagaikan sudah berubah sikap sejak kebelakangan ini. Perangainya berubah secara tiba-tiba dan mendadak. Kalau dulu dia ramah, ceria dan agak gemar membebel, tiba-tiba kini dia jadi pemarah, sering bermuka masam, suka mendiamkan diri dan ada kalanya bercakap seorang diri.
Perubahan paling menonjol pada diri isteri saya ialah dia sudah tidak mahu lagi pergi ke dapur. Kalau sebelum ini, dunianya adalah di dapur, kini hendak berpaling atau melihat ke arah dapur pun dia tidak mahu. Usahkan memasak, membasuh pinggan mangkuk di singki yang terletak di sebelah dapur pun dia tak mahu.
Akibatnya, beberapa hari lalu, saya jadi terkejut besar apabila berat badan saya telah turun mendadak sebanyak 3.6 kilogram dalam masa tidak sampai dua minggu. Kalau sebelumnya berat badan saya 61 kilogram, kini ia sudah turun menjadi 57.4 kilogram. Saya pasti penurunan berat badan saya ini gara-gara perubahan perangai isteri saya itu. Ini memang saya pasti.
Apa tidaknya, dalam masa dua minggu ini, saya tidak lagi dapat makan masakan isteri gara-gara dia sudah tidak mahu lagi ke dapur. Dalam hal masakan, saya bukan mahu memuji isteri, tetapi masakan beliau memang sukar ditandingi. Setiap hari saya sanggup menahan diri untuk makan di luar semata-mata untuk makan di rumah. Lauk sedikit tidak mengapa, tetapi yang penting hidangan disediakan isteri. 
Tetapi sejak dua minggu lalu, selera saya bagaikan sudah musnah dan tidak seperti yang sepatutnya. Semuanya gara-gara isteri yang sudah tidak mahu lagi ke dapur. Saya jadi benar-benar bingung dan tidak tahu kepada siapa mahu mengadu. Tetapi perangai wanita yang sudah saya kahwini sejak lebih 30 tahun lalu itu bagaikan sukar untuk diubah.
Semuanya gara-gara kemunculan makhluk ketiga di antara kami yang kini turut tinggal di rumah saya. Makhluk yang saya maksudkan itu adalah seekor tikus yang dikesan berkeliaran di dapur, celah-celah kabinet serta belakang peti sejuk dan mesin basuh di rumah saya sejak dua minggu lalu.
Akibatnya, hidup dan rutin harian isteri saya yang juga seorang musophobia (fobia atau takut terlampau pada tikus) menjadi tunggang-langgang dan bagaikan tidak terurus lagi. Jika dulu dapur rumah kami bagaikan syurga kepada isteri, kini ia sudah jadi kawasan busut berpuaka yang amat dibencinya. Bukan saja sudah tidak mahu lagi melangkah ke dapur, malah menjengah dan melihat dapur pun dia mahu mengelaknya.
Situasi ini menjadi lebih buruk apabila anak-anak turut memiliki sedikit sebanyak baka ibunya, iaitu turut takut dengan haiwan kecil berkenaan. Sebenarnya selain isteri yang musofobia, seorang anak perempuan saya adalah ailurophobia (teramat takut dengan kucing) dan seorang lagi cynophobia (takut kepada anjing).
Nasib baiklah bapa mereka hanya kadang-kadang sedikit acrophobia (seram kepada ketinggian) dan geli (bukan takut) terhadap tikus, lipas dan ular.
Sebenarnya bukan saya tidak berusaha untuk menangkap atau menghalau tikus berkenaan dari dapur rumah kami. Sejak kemunculannya dikesan dua minggu lalu, sekurang-kurangnya saya sudah berulang-alik dua kali ke kedai peralatan logam dan pusat DIY (kedai barangan lakukan sendiri) semata-mata untuk membeli pelbagai jenis racun dan perangkap tikus.
Sebut saja jenis dan bentuknya, semua sudah saya beli dan pasang di rumah. Bentuk perangkap bergigi, gam tikus, racun butir pelbagai warna semua sudah saya beli untuk menangkap dan menghapuskan ‘perosak’ keharmonian rumah tangga kami ini.
Terkini, semalam, isteri saya sanggup bersusah payah meredah kesesakan jalan raya pergi ke sebuah kedai di Subang Jaya untuk membeli dua gajet perangkap yang dikatakan canggih dan amat efektif dalam menangkap atau menghapuskan tikus.
Bagaimanapun, ada orang memberitahu bahawa tikus adalah sejenis haiwan yang bijak dan mampu menghidu perangkap atau racun yang ditujukan kepadanya. Maka, selepas pelbagai perangkap dan racun yang digunakan masih gagal ‘mengalahkan’ seekor tikus di dapur itu, saya menjadi agak pesimis bahawa gajet terkini yang dibeli isteri mampu melaksanakan tugasnya.

Lebih mengecewakan hati, saya hanya mampu memandang sayu ke wajahnya apabila diberitahu bahawa perangkap tikus berkenaan berharga ratusan ringgit setiap satu. Saya kini bukan saja sakit hati, marah dan kecewa, tetapi turut bingung dan tak tahu apa perlu dilakukan demi memulihkan keharmonian rumah tangga kami gara-gara perbuatan seekor makhluk kecil berbulu yang menumpang tidur di sudut dapur kami itu.
Previous
Next Post »
loading...