Kuala Lumpur: Kumpulan thrash metal popular
dunia, Megadeth kecewa dengan dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan muzik
mereka memberi pengaruh negatif dalam konsert sulung mereka di Stadium Negara,
di sini, malam ini.
Penyanyi dan pemain gitarnya, Dave Mustaine berkata,
sejak ditubuhkan lebih 30 tahun lalu, Megadeth tidak pernah membawa sebarang
pengaruh negatif dalam setiap persembahan dan lagu-lagu mereka.
"Niat kami hanya menghiburkan penonton dan tidak
lebih dari itu. Lagu-lagu kami juga kebanyakannya mengenai perkara-perkara
positif seperti kemanusiaan, kesan buruk peperangan dan sebagainya. Kami juga
banyak terbabit dalam kerja-kerja amal termasuk membantu pesakit kanser dalam
kalangan kanak-kanak.
"Pada saya pendapat mengenai Megadeth sebagai ejen
perosak masyarakat adalah sesuatu yang mengarut," katanya dalam temubual
eksklusif bersama Harian Metro hari ini.
Mustaine berkata, dia juga tidak menafikan ada pengaruh
negatif dalam kalangan pemuzik metal, namun ia bergantung kepada seseorang
individu.
"Metal hanya satu genre muzik dan tak lebih dari
itu. Semuanya terpulang kepada individu. Jika anda memang seorang yang tidak
baik, anda mendengar muzik apa pun ia tetap sama," katanya.
Selain Mustaine, Megadeth turut dianggotai David Ellefson
(bass), Kiko Loureiro (gitar) dan Dirk Verbueren (dram).
Konsert Megadeth Live In Malaysia diadakan sempena
konsert jelajah dunia album terbaru mereka iaitu Dystopia.
Dalam pada itu, Megadeth turut teruja membuat konsert
pertama mereka di sini.
Mustaine berkata, dia menghargai sambutan yang diberikan
peminat muzik metal di sini.
"Saya difahamkan mereka sudah menanti lebih 20
tahun. Tentunya kami memberikan yang terbaik buat mereka.
"Anda juga beruntung kerana mempunyai negara yang
cantik. Sebaik tiba di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), saya
sudah kagum dengan Malaysia," katanya.
Sementara itu, lebih 10,000 penonton membanjiri Stadium
Negara, di sini, menyaksikan konsert mereka malam ini.
Dalam konsert yang bermula jam 9 malam itu, Megadeth
membawakan lagu-lagu daripada album terbaru Dystopia serta album-album terawal
mereka.
Antaranya ialah Hangar 18, Wake Up Dead, Symphony of
Destruction, Peace Sells, Tornado of Souls, A Tout Le Monde dan Dystopia.
Megadeth
yang juga pemenang Grammy Awards 2017 lalu ditubuhkan di Los Angeles, Amerika
Syarikat pada 1983. Sehingga hari ini semua album mereka terjual lebih 50 juta
unit di seluruh dunia.