Kuala Lumpur: Mengaku sebagai janda dan
berjanji mahu mengikat tali pertunangan. Itu antara ayat manis ditaburkan
seorang lelaki bagi memerangkap mangsanya dengan menyamar sebagai wanita
melalui dua akaun palsu di Facebook.
Bagaimanapun kegiatan suspek berusia 23 tahun dan berasal
dari Kampung Belakang Pendang, Kedah, itu terbongkar apabila ditahan seorang
mangsa yang mengetahui helahnya.
Malah kisah pembohongan lelaki itu turut menjadi tular di
laman sosial selepas rakaman video serta bukti transaksi pemberian wang
terhadapnya didedahkan melalui status dimuat naik seorang wanita sejak
kelmarin.
Menurut maklumat dilaporkan, lelaki itu dipercayai menipu
beberapa mangsa membabitkan lelaki tempatan dan warga Indonesia dengan nilai
kerugian dianggarkan lebih RM17,000.
Sumber berkata, suspek aktif menipu menggunakan dua akaun
palsu di Facebook dengan nama ‘Chinta Chanduri’ dan ‘Syarifah Syakilla’.