Tiga beradik bersanding serentak

Pontian: Tiga beradik bersanding serentak pada majlis perkahwinan mereka di Parit Lapis 2, Kampung Sri Bunian, Batu 33, Jalan Pontian-Johor, di sini, kelmarin.
Ia bukan saja menjimatkan, malah majlis berkenaan turut dihadiri lebih 3,000 tetamu yang hadir bagi meraikan hari bahagia mereka.
Tiga beradik bersanding serentak
Lebih meriah, tiga beradik itu, Mohammad Azizzul Rahamat, 29, Mohammad Azwan, 26, dan Siti Nadhirah, 22, diarak bersama pasangan masing-masing sejauh 200 meter ke rumah ibu bapa mereka.
Perarakan dimulai dengan Mohammad Azizzul dan Nor Atiqah Ramli, 30, yang berpakaian merah, Mohammad Azwan dan Nurin Hazifa Rosli, 26, pula mengenakan pakaian serba kuning manakala Siti Nadhirah bersama suaminya, Muhamad Safrisyah Misa, 30, berpakaian biru.
Perarakan itu turut diiringi paluan kompang dan persembahan pencak silat.
Mohammad Azizzul bernikah tiga bulan lalu di rumah keluarga isterinya di Bangi, Selangor manakala Muhammad Azwan bernikah bulan lalu di rumah keluarga Nurin Hazifa di FELDA Semencu, Kota Tinggi.
Siti Nadhirah yang juga anak ketiga daripada empat beradik dan pasangannya, Muhamad Safrisyah bernikah di rumah ibu bapa wanita berkenaan sebelum majlis persandingan serentak berlangsung dengan hantaran RM8,000.
Mohammad Azizzul yang juga anak sulung berkata, hubungan mereka memang rapat dan walaupun masing-masing bernikah pada tarikh berbeza, mereka tetap mahu bersanding bersama.
Menurut Mohammad Azizzul yang bekerja di Singapura, selain mahu berkongsi hari bahagia bersama banyak pihak, mereka berpendapat persandingan berkenaan memudahkan banyak pihak hadir.
Bapanya, Rahamat Rahman, 57, berkata, dia dan isteri, Saripah Amin, 55, bersyukur kerana ketiga-tiga anak mereka bertemu jodoh serta mendoakan kebahagiaan mereka.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana diberi kesihatan dan kesempatan menyaksikan hari bersejarah ini.

“Pada masa sama, kami menghargai bantuan penduduk kampung yang bergotong-royong bagi menjayakan majlis bersejarah ini kerana tanpa bantuan mereka, majlis ini tidak akan dapat direalisasikan,” katanya.
Previous
Next Post »
loading...