Alor Gajah: Demi kasih dan cinta terhadap
isteri yang diserang penyakit angin ahmar, seorang bekas pekerja pusat
peranginan sanggup meletak jawatan semata-mata untuk menjaga isteri tersayang.
Sejak Salbiah Lamit, 52, diserang penyakit berkenaan pada
Mac 2016, Noor Azlan Abdul Hamid, 57, sanggup berkorban menjaga isterinya dan
terpaksa berhenti kerja berikutan tiada siapa yang boleh memberikan sepenuh
masa untuk menjaga Salbiah.
Noor Azlan berkata, Salbiah yang sebelum itu bekerja
sebagai tukang masak di beberapa kedai makan sekitar Masjid Tanah diserang
penyakit itu pada 3 Mac tahun lalu.
“Isteri saya dirawat di Hospital Melaka selama lapan hari
sebelum doktor membenarkannya pulang dan selepas itu saya membawanya ke
pelbagai tempat berurut untuk memulihkan tangan dan kaki kirinya yang tidak
berfungsi.
“Saya terpaksa berhenti kerja untuk menguruskan makan,
minum, pakaian dan bermacam-macam lagi kerja menjaga orang sakit angin ahmar,
termasuk menukar lampin pakai buangnya,” katanya ketika ditemui di Kampung
Padang Kemunting, Masjid Tanah, dekat sini, semalam.
Pasangan suami isteri yang dikurniakan lapan anak berusia
antara 10 hingga 25 tahun itu setakat ini belum menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Noor Azlan berkata, dia akan mencuba mengemukakan
permohonan untuk mendapatkan bantuan itu bagi menampung pembiayaan keluarga
yang sekarang disumbangkan dua anaknya yang sudah bekerja.
“Saya tidak kesal dengan penyakit yang menyerang isteri
saya kerana semuanya qada dan qadar Allah dan sebagai manusia, kita harus
berikhtiar untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Dia berkata, dua atau tiga hari sekali, dia menolak
kerusi roda dinaiki isterinya untuk mengambil angin laut di pesisiran pantai
selepas bosan berada di rumah.
Sementara itu, Salbiah bersyukur dianugerahkan suami yang
penyayang, malah memahami penderitaannya.
“Saya cuba menggerakkan tangan dan kaki kiri, tetapi
tidak mampu dan saya berdoa agar Allah menyembuhkan penyakit ini,” katanya.
Mereka yang
ingin membantu Salbiah boleh menghubungi Noor Azlan di talian 013-6156777.