Persembahan menghiburkan dan berjaya memenuhi
cita rasa penonton. Inilah yang diperlihatkan Farahdhiya atau Farah dalam
showcase yang berlangsung di kelab hiburan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, petang
kelmarin.
Peluang keemasan yang diberikan oleh penganjur, Melody
United dimanfaatkan sebaik mungkin oleh peserta Gegar Vaganza 2 ini apabila
membuktikan dirinya seorang penyanyi versatil yang mampu menyanyikan pelbagai
genre lagu.
Showcase sulung Farah selepas 14 tahun bergelar artis ini
berjaya menarik perhatian lebih 1,000 peminat setianya yang membeli tiket.
Tidak ketinggalan beberapa rakan artis antaranya Datuk A
Aida, Datuk Eizlan Yusof, Datuk Shah Reza, Nassier Wahab, Haiza dan Sabhi Saddi
turut hadir memberi sokongan.
Insan istimewa yang bertakhta di hatinya, bapanya Mohd
Amin dan abang, Luqman turut hadir menyaksikan persembahan.
Keterujaan penonton yang rata-rata daripada kelab peminat
Farah untuk menyaksikan persembahan artis kesayangan mereka, jelas terlihat
apabila hadir memenuhi setiap sudut di Hard Rock Cafe sejak awal petang.
Bagaimanapun, sebelum itu, mereka terlebih dulu
dihiburkan dengan persembahan artis Melody United, Kris Patt yang menyampaikan
rangkaian lagu menarik antaranya Elegi Sepi nyanyian asal Azharina.
Detik yang ditunggu akhirnya tiba apabila Farah muncul di
pentas tepat jam 4.30 petang yang disambut dengan tepukan gemuruh peminat.
Tanpa mengambil masa lama, dia yang diiringi pemuzik
daripada Patriot Band terus menyampaikan lagu pertama berentak rancak, I Want
To Break Free yang berjaya menghangatkan keadaan.
Farah kemudian menyampaikan lagu kedua berkonsep
perlahan, Ku Tak Rela yang turut sama dinyanyikan oleh peminat.
Kehangatan diteruskan lagi apabila dia menyanyikan lagu
Penasaran dan turut mengundang peminatnya untuk turut sama bergelek.
Lagu lain yang dinyanyikan ialah Kau Telah Pergi/Yang Ku
Puja, Rasa Cinta dan Someone Like You/Hello sebelum berhenti rehat seketika.
Sepanjang persembahannya, Farah ternyata bijak
berkomunikasi dengan peminat menerusi celoteh dan usikan terhadap mereka.
Segmen kedua pula menyaksikan Farah sekali lagi mengajak
peminatnya bergelek menerusi lagu Perawan Atau Janda.
Dia kemudian kembali membuai perasaan peminat menerusi
lagu berentak perlahan, Milikku Abadi. Namun, Farah kembali mengaum menerusi
lagu Enter Sandman yang dinyanyikan dengan begitu bertenaga.
Semakin lama suasana semakin hangat apabila Farah
menyampaikan pula lagu Kepada Dia, Sedang Ingin Bercinta sebelum mengakhiri
persembahan dengan lagu Bertakhta Dihati.
Persembahan 12 lagu ini ternyata belum berupaya memuaskan
hati peminatnya yang meminta Farah terus menghiburkan mereka.
Ternyata permintaan itu tidak dihampakan oleh Farah
apabila menyampaikan medley lagu rock popular iaitu Di Alam Fana Cinta, Suci
Dalam Debu dan Kamelia.
Farah berkata, respons positif dan sikap 'sporting'
peminat yang hadir menjadi faktor dia memberikan persembahan mantap dan
bertenaga.
“Saya amat terharu apabila ramai daripada mereka sanggup
datang dari jauh semata-mata untuk menyaksikan showcase ini.
“Kepuasan yang saya alami sememangnya tak dapat
digambarkan dengan kata-kata. Pada masa sama, ia persembahan pertama apabila
saya menyampaikan sebanyak 17 lagu,” katanya.
Menurutnya,
persediaan yang dibuat selama dua bulan dengan mencari rangkaian lagu yang
sesuai dan menghafal lirik berjaya menjadikan showcase ini berjalan lancar
seperti dirancang.