Nilai: Laporan bedah siasat terhadap remaja
lelaki yang meninggal dunia akibat minum racun mendapati tiada bukti dia
dipaksa berbuat demikian.
Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin
berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan pihak forensik Hospital Tuanku
Ja'afar (HTJ) mengesahkan S Pavin, 15, mati akibat keracunan jenis racun
rumpai.
"Namun, tiada kesan kecederaan pada tangan, kaki dan
badan yang menunjukkan remaja itu dipaksa orang lain untuk minum racun. Tiada
juga kesan luka dalaman pada bahagian mulut dan tekaknya.
"Bagaimanapun, terdapat beberapa kesan luka lama
akibat hirisan pada lengan kiri," katanya pada sidang media di Balai Polis
Nilai di sini, hari ini.
Beliau menolak dakwaan pelbagai pihak di media sosial
bahawa polis cuba menyembunyikan maklumat mengenai kejadian itu yang mengaitkan
mangsa dengan kes buli.
Zaldino berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan
lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7583222.
Dalam
kejadian 26 April lalu, mangsa mendakwa dipaksa minum racun oleh sekumpulan
pelajar lain di Pekan Nilai di sini, selepas menegur mereka hidu gam
menyebabkan dia dimasukkan ke HTJ sebelum meninggal dunia, 9.30 malam semalam.