PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak hari ini bertemu keluarga Salihin Ahmad serta melahirkan penghargaan
kerajaan dan rakyat atas pengorbanannya sehingga sanggup menjual rumah bagi
membiayai penyertaan dua puterinya ke pertandingan catur di luar negara.
Dalam pertemuan singkat selepas menghadiri majlis
inisiatif Negaraku yang dijayakan Malaysia Airlines di Perdana Putra di sini
hari ini, Najib berkata Malaysia berbangga dengan pencapaian Nur Anisah, 17 dan
Afiqah Zahra, 7, yang masing-masing bertanding dalam kategori bawah 17 tahun
dan bawah 7 tahun pada Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di
Romania, yang bermula pada 22 April sehingga 1 Mei nanti.
Salihin yang merupakan guru Bahasa Melayu di Sekolah
Kebangsaan Sungai Udang, Klang dilaporkan terpaksa menjual rumah keduanya di
Segamat, Johor, pada harga RM65,000 untuk membawa Afiqah Zahra dan anak
sulungnya, Nur Anisah, ke pertandingan berkenaan kerana tiada penajaan.
Perdana Menteri berkata pengorbanan Salihin dan ibu bapa
yang menghantar anak-anak mereka ke pertandingan itu akan dihargai melalui
kementerian berkaitan.
“Ini merupakan satu komitmen dan kesungguhan ibu bapa
terhadap anak-anak mereka. Kita akan pastikan bakat seumpama ini akan dipupuk
dan disokong sebaiknya, kerana biarpun individu, ia membawa nama Negaraku
Malaysia,” katanya.
“Tahniah Cikgu Salihin dan semua peserta Malaysia di
Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017,” kata Najib.
Salihin, 45, yang juga jurulatih catur berkata dua
anaknya itu berlatih minimum enam jam seminggu sesama mereka dan bersama
kawan-kawan serta di hadapan komputer untuk menyertai pertandingan antarabangsa
yang mempunyai sembilan pusingan itu.
“Afiqah hampir-hampir menjadi johan tetapi di pusingan
lapan dan sembilan dia jatuh seri, dan akibat gerakan yang dilakukan kurang
menjadi, dia jatuh kepada kedudukan lima dunia bagi kategori perempuan bawah 7
tahun. Dua pusingan terakhir amat penting dan saya memang memberi tekanan
kepadanya untuk menang.
Dia cuba sedaya upaya. Selepas pusingan kelapan, dia
masuk bilik dan meraung-raung kerana amat kecewa dengan gerakan yang dilakukan
kurang menjadi pada pusingan itu. Tetapi, saya melihat Afiqah mempunyai potensi
besar kerana tahap pemikiran dalam permainan ini adalah jauh lebih matang,”
katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Perdana Menteri.
Salihin berkata Nur Anisah, yang pernah merangkul gelaran
‘Woman Candidate Master’ di Pertandingan Catur Asia Timur di Korea Selatan,
turut seri dengan rakan sepasukan, Vivien Ngieng dalam kategori perempuan bawah
17 tahun.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri
kerana sudi menjemput kami. Perdana Menteri telah memberikan kata-kata semangat
untuk meneruskan usaha kami menempa lebih banyak lagi kejayaan dan mengharumkan
nama Malaysia.
Nur Anisah berkata pengorbanan ibu bapanya amat besar dan
ingin berjaya dalam semua pertandingan catur yang bakal disertai serta
mengharumkan nama keluarga dan negara di persada antarabangsa. – BERNAMA