Amman: Gara-gara merakam gambar makanan,
seorang lelaki bertindak menceraikan isterinya.
Kejadian berlaku di sebuah restoran di barat bandar raya
ini apabila wanita itu mencetuskan kemarahan suaminya setelah memaksa dia
berhenti makan untuk membolehkan dia merakam gambar makanan itu dan menghantar
gambar berkenaan kepada rakannya menerusi Snapchat.

Menurut laporan media tempatan, lelaki itu membawa
isterinya makan malam di sebuah restoran mewah Sabtu kelmarin.
Kerana terlalu ramai pelanggan, mereka terpaksa menunggu
setengah jam untuk makanan tiba, menyebabkan si suami terlalu lapar.
Bagaimanapun, apabila hendak menyentuh makanan itu,
isterinya meminta dia bersabar sementara dia merakam gambar makanan berkenaan.
Keadaan menjadi tegang apabila lelaki itu menghalang
isterinya berbuat demikian.
Si suami
meninggikan suara diikuti dengan lafaz talak sebelum meninggalkan restoran itu
tanpa membayar harga makanan itu.