Kota Bharu: Pelajar Sekolah Menengah
Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur, Elwin Raj, 17, dinobatkan sebagai
juara Pertandingan Neurosains Peringkat Kebangsaan, Malaysia Brain Bee
Challenge (MBBC) 2017 di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM)
Kubang Kerian, hari ini.
Keputusan itu melayakkan Elwin mewakili Malaysia ke
Pertandingan International Brain Bee Championship (IBBC) 2017 di Washington DC,
Amerika Syarikat (AS) pada Ogos nanti.
Dalam pertandingan selama dua hari itu, seramai 27
peserta diuji menerusi ujian lisan dan bertulis berkaitan bidang neurosains.
Elwin berkata, ini adalah kali kedua dia menyertai
pertandingan itu selepas berada di kelompok 10 teratas pada tahun lalu.
"Sebagai persediaan awal, saya memperuntukkan selama dua jam setengah
untuk membaca buku berkenaan neurosains selain membuat latih tubi secara atas
talian dan mendapat tunjuk ajar daripada guru di sekolah serta ibu bapa.
"Pada hari ini, segala usaha dan penat lelah dibayar
dengan sebuah kejayaan apabila berjaya mengumpul markah tertinggi,"
katanya.
Elwin turut menerima Anugerah Al-Biruni sekali gus
membawa pulang wang tunai RM550 dan sijil penyertaan disampaikan Ketua Jabatan
Pusat Sains Perubatan USM, Prof Dr Din Suhaimi Sidek
Hadir sama,
Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains USM, Prof Datuk Dr
Jafri Malin Abdullah dan Pensyarah Perubatan USM merangkap ketua projek MBBC
2017, Prof Madya Dr Muzaimi Mustapha.