TRAGIS apabila seorang bayi berusia 17 bulan
ditemui penduduk sedang menghisap susu daripada tubuh ibunya sendiri yang telah
meninggal dunia.
Dalam kejadian di daerah Damoh, Madhya Pradesh, India,
itu, seorang lelaki telah menghubungi polis apabila menemui mayat seorang
wanita berhampiran landasan kereta api.
Apabila polis tiba mereka melihat ramai orang berkerumun
dekat mayat wanita itu dan seorang bayi sedang menangis.
Saksi, Monu Balmiki, 27, berkata: “Kami melihat seorang
wanita terbaring dekat landasan kereta api dan menghubungi polis.
“Tetapi bila kami mendekati mayat, kami melihat seorang
bayi sedang menangis sambil menghisap susu dari badan mayat itu. Apa yang
berlaku menyebabkan kami menitiskan air mata,” katanya.
Seorang pekerja di landasan kereta api, Nand Ram berkata:
“Anak kecil itu menangis apabila ibunya tidak menghiraukannya, dia kemudian
mula memegang dan minum susu badan ibunya.
“Kami terkejut melihatnya, ia sangat menyedihkan. Wanita
itu mati terbaring manakala anaknya terlentok sambil menangis di sebelahnya.
“Ini adalah sesuatu yang kami tidak pernah lihat sebelum
ini. Ia menyentuh perasaan.
Balmiki menambah, mayat telah dihantar ke hospital untuk
bedah siasat dan siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca kematian.
Katanya: “Kami mengesyaki dia terbabit kemalangan
berdasarkan darah yang keluar dari hidung dan telinganya.
“Kami cuba mencari alamat rumah wanita itu dan berusaha
mendapatkan beberapa maklumat supaya keluarganya boleh dimaklumkan.
“Bayi itu dibawa ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan
dan Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak tempatan juga telah dimaklumkan.
Seorang jurucakap hospital memberitahu: “Kanak-kanak itu
dibawa ke sini sekitar jam 10 pagi.
“Kami telah menjalankan pemeriksaan fizikal ke atasnya
dan dia mengalami selesema tetapi telah diberikan ubat.
“Dia tidak mempunyai sebarang komplikasi lain dan kami
akan pastikan dia dijaga rapi.
Perbincangan sedang dibuat untuk bayi itu dihantar ke
rumah anak yatim sehingga keluarganya dikesan.