SEORANG pelajar perempuan tingkatan dua
ditemui meninggal dunia akibat serangan sawan dalam bilik asrama puteri Sekolah
Agama Bantuan Kerajaan (SBAK) Al Hidayah, Parit Abas, Kuala Kurau, dekat Parit
Buntar, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar
Yaacob berkata, Nur Farrahin Rusli Maran, 14, ditemui tidak sedarkan diri
dengan mulutnya berbuih di atas katil dalam bilik asrama ketika rakan-rakannya
mahu mengejutkan pelajar berkenaan untuk bersahur pada 5.30 pagi.
Beliau berkata, guru sekolah ke asrama selepas diberitahu
dua pelajar yang mendapati seluruh badan pelajar itu sejuk dan keras serta muka
bengkak.
Katanya guru berkenaan kemudian menghubungi Hospital
Parit Buntar dan pegawai perubatan yang datang membuat pemeriksaan mendapati
pelajar itu sudah meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke hospital bedah siasat.
"Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah
terhadap mangsa dan hospital yang menjalankan bedah siasat mengesahkan pelajar
itu mati disebabkan saluran pernafasan tersekat akibat pengumpulan cecair
berikutan serangan sawan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Omar
Bakhtiar berkata keluarga mangsa memberitahu sebelum ini, pelajar itu pernah
mendapatkan rawatan akibat penyakit sawan.