“CEBISAN daging berselerakan. Tangan di
tempat lain, kepalanya di tempat lain dan penuh darah di kawasan itu,” kata
penduduk tempatan di Kampung Melayu Jakarta Timur, Amri Halim, 32, menceritakan
insiden cemas serangan dua pengebom berani mati yang meragut tiga nyawa anggota
polis Indonesia.
Amri ketika dihubungi Harian Metro berkata, sebelum
kejadian itu, dia yang dalam perjalanan pulang terperangkap dalam kesesakan
lalu-lintas sebelum terdengar letupan kuat sebaik tiba di stesen bas itu
kira-kira 9 malam tadi.
“Saya segera memberhentikan kereta sebelum melihat orang
ramai bertempiaran lari meninggalkan stesen bas sambil menjerit kuat ada
pengebom berani mati,” katanya.
Amri berkata, lima minit kemudian satu lagi letupan kuat
berlaku di kawasan itu.
“Orang ramai yang berada di situ mula tunduk dan ada yang
menangis ketakutan. Saya memberanikan diri menghampiri kawasan itu.
“Cebisan daging dan kepala turut terdapat di tempat
kejadian, sangat mengerikan,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian dia lihat anggota polis cuba
menyelamatkan rakan mereka dan orang awam yang tercedera.
Dia berkata, dia percaya serangan itu sebenarnya
mensasarkan polis yang menjaga lalu-lintas di kawasan berkenaan.
“Sebenarnya, menjadi rutin biasa buat kami di
perkampungan melakukan konvoi damai pusing kampung dan seluruh Jakarta bagi
menyambut Ramadan.
“Jadi, polis jaga lalu-lintas mungkin jadi sasaran
pengebom. Konvoi juga sepatutnya dijadualkan lalu ke kawasan ini tetapi diarah
melalui kawasan lain selepas letupan berlaku,” katanya.
Amri
berkata, kawasan itu kini ditutup kepada orang ramai dan polis sudah memasang
garisan kuning dengan jarak 100 meter dari lokasi kejadian untuk siasatan
lanjut.