Aroma segar serbuk kopi yang dibancuh air semerbak
memenuhi ruang hadapan Beringin Spa & Beauty. Terasa keenakannya, namun
kopi yang disediakan bukan untuk dijadikan hidangan sebaliknya sebagai bahan
penyental badan untuk pelanggan.
Terkenal sebagai bahan perawatan badan, sejak dulu lagi
kopi dijadikan bahan utama untuk menghalus dan melembapkan kulit. Ini kerana
kandungan kafein yang terdapat di dalamnya boleh menanggalkan sel kulit mati,
terutama bagi yang memiliki kulit kering dan mengelupas.
Ini diakui Pemilik Beringin Spa & Beauty, Nurul Husna
Md Isa yang menyediakan rawatan lulur dan sental menggunakan serbuk kopi
sebagai salah satu perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.
Menggunakan campuran serbuk kopi asli diadun bersama
sedikit gula, campuran ini memberikan rasa melekit bagi memudahkan proses
membuang kotoran dan daki.
“Gula yang dicampur bersama kopi sebagai agen lekatan
agar serbuk kopi melekat pada kulit. Kemudian campuran ini disapu ke seluruh
badan dengan cara menggosok perlahan-lahan. Kemudian dibiarkan selama 10 hingga
15 minit supaya kafein meresap ke dalam kulit,” katanya.
Biji kopi yang dihancurkan dan diusap pada badan mampu
mencerahkan kulit sekali gus menjadi lebih segar dan bermaya. Kopi juga mampu
menjadikan kulit lebih tegang dan anjal manakala kandungan kafein membantu
menghilangkan selulit. Pelanggan juga boleh melakukan lulur dan sental sendiri
di rumah dengan menyediakan serbuk kopi bersama minyak zaitun.
HILANGKAN PARUT JERAWAT
Selain rawatan badan, spa yang terletak di Bandar Baru
Bangi turut memberi tumpuan kepada keserian wajah menerusi rawatan Dermapen.
Jelas Husna, Dermapen berkesan menegangkan kulit, menghilangkan kedutan halus
dan besar, memudarkan jeragat dan parut, menghilangkan parut hitam serta
menjadikan pori kulit lebih halus.
“Ia juga membantu menjana semula kolagen secara semula
jadi pada wajah dengan ini sel baru cepat terhasil,” katanya.
Terkenal sebagai rawatan paling berkesan memudarkan parut
jerawat, Dermapen dijalankan menggunakan jarum mikro yang halus bersama serum
pencerah yang selamat bahan kandungannya.
Untuk setiap jenis kulit kadar kedalamannya berbeza.
Bermula daripada 0.5 milimeter (mm) sehingga 2mm, jarum ini akan menusuk
menembusi lapisan kulit.
“Paling penting Dermapen tidak menyakitkan dan
menyebabkan luka pada kulit. Ia hanya menyebabkan kulit kelihatan kemerahan
buat seketika. Rawatan ini dijalankan selama dua jam dan selesa bagi mereka
yang baru kali pertama mencuba,” kata Husna yang menggalakkan pelanggan
menjalani rawatan dua kali seminggu untuk masalah kulit serius.
Meminati bidang kecantikan sejak zaman persekolahan,
Husna yang masih bekerja mengakui bagi memenuhi minat sebagai terapi dia sering
mengikuti pelbagai bengkel atau latihan mengenai urutan badan dan rawatan
wajah.
“Sehingga suatu hari saya terjumpa dengan laman sesawang
Zarraz dan tertarik mengikuti kelas spa bergerak. Hampir dua bulan saya
menjadikannya sebagai kerjaya sambilan. Selepas yakin dengan perkhidmatan
dijalankan saya bercadang membuka spa fizikal kerana merasakan tidak selamanya
akan terus bekerja makan gaji,” katanya.
Bermula dengan mencari kedai menerusi pencarian Google,
Husna bertemu pemilik Kenanga Spa, Asmawati Salleh yang ingin mencari rakan
niaga. Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, kata sepakat diambil untuk
menjadikan perniagaan spa ini sebagai perniagaan bersama.
“Perkara pertama dilakukan adalah menukar nama Kenanga
kepada Beringin Spa & Beauty bagi memperbaiki jenama agar lebih dikenali
ramai. Walaupun tidak menukar konsep 100 peratus, namun harga ditawarkan serta
perkhidmatan masih kekal dan ditambah dengan rawatan baru,” katanya yang turut
menyediakan rawatan rambut termasuk cuci dan gunting.
Beringin Spa & Beauty dibuka setiap hari dari jam 9
pagi hingga 7 malam. Dengan tiga juruterapi terlatih dan berpengalaman, rawatan
urutan untuk ibu dalam pantang turut disediakan dari rumah ke rumah.
Selain
itu mendekatkan diri dengan pelanggan Beringin Spa & Beauty turut menerima
jemputan daripada klinik kesihatan daerah untuk mengadakan urutan dan rawatan
wajah pada hari terbuka mereka serta bengkel kecantikan untuk pelajar
universiti.