Kuala Lumpur: Akibat tidak mampu membayar
sewa bilik hotel didiami, seorang lelaki cuba membunuh diri dengan mengelar
tangan menggunakan pisau cukur.
Dalam kejadian jam 4.18 petang semalam, lelaki berusia 30
tahun itu mengunci pintu bilik dihuni di sebuah hotel di Jalan Tun Razak, di
sini.
Difahamkan, lelaki terbabit tidak dapat menjelaskan
bayaran selepas menginap di hotel itu bersama isteri selama 17 hari.
Penguasa Bomba dan Penyelamat Fathi Kameel Mohd Asri
berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.28 petang sebelum
sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLCC dan BBP Hang Tuah
dikerahkan ke lokasi.
“Anggota bomba terpaksa memecahkan pintu bilik berkenaan.
“Lelaki itu terkejut dan bertindak menoreh tangannya
menggunakan pisau cukur dipegang,” katanya.
Fathi Kameel
berkata,anggota bomba dan polis menyerkup lelaki itu menggunakan kain selimut
sebelum lelaki itu ditahan.