Shah Alam: Seorang tukang masak lelaki warga
Yaman cedera melecur selepas tong gas memasak sebuah restoran makanan Arab di
Seksyen 13, di sini, mengalami kebocoran dan meletup, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa yang
berusia 27 tahun melecur di kedua-dua tangan selain kaki dan beberapa anggota badan
ketika melakukan persediaan membuka premis berkenaan.
Jurucakap Bomba Selangor berkata, sepasukan pegawai dan
anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian
sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.34 pagi.
"Hasil pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran gas
yang menyebabkan letupan dan turut merosakkan struktur hadapan bangunan
restoran itu.
"Seorang mangsa iaitu chef restoran cedera melecur
dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut," katanya.
Menurutnya,
tiada kemalangan jiwa lain dilaporkan berlaku dan pemeriksaan lanjut sedang
dijalankan bomba di lokasi berkenaan.