Johor Bahru: “Ketika suasana riuh rendah,
saya berdoa semoga semuanya selamat,” kata Ahiruddin Ariffin, 60, antara jemaah
Surau Austin Perdana di Taman Austin Perdana, di sini, yang menyaksikan
kekecohan akibat tindakan pemandu membunyikan hon ketika solat Jumaat, hari
ini.
Dia berkata, pemandu Toyota Camry itu membunyikan hon
agak lama ketika jemaah rukuk dan beberapa kali ketika tahiyat akhir sehingga
mengganggu ketenteraman.
“Beberapa jemaah menjerit tidak puas hati sebelum ada
yang mula hilang pertimbangan apabila pemandu itu mula melanggar kereta.
“Apabila saya keluar, saya melihat beberapa orang
bergaduh dan anggota RELA cuba meleraikan pergaduhan tapi turut dipukul,”
katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, dia bimbang jika ada pihak bertindak luar batasan sehingga mengakibatkan
kecederaan.
Dia berkata, sejak mula solat Jumaat di surau itu sejak
2014, jemaah tidak berdepan apa-apa masalah malah pengurusan tidak pernah
menerima aduan penduduk dan anggota RELA memastikan jalan tidak ditutup
sepenuhnya.
“Bagi saya, pemandu itu sepatutnya bertolak ansur. Kalau
tidak puas hati dia sepatutnya mengambil nombor plat kereta dan serahkan kepada
pihak berkuasa,” katanya.
Video insiden itu sepanjang 47 saat tular di Facebook
merakamkan sebuah kereta memandu dalam keadaan berbahaya namun terkepung.
Situasi bertambah meruncing apabila seorang lelaki
menghentak cermin belakang dengan topi keledar hingga pecah dan ketika pemandu
keluar, dia dipukul termasuk menggunakan kon merah.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk
Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya kini sudah mengarahkan beberapa anggota
untuk melakukan penahanan terhadap individu yang terbabit dengan insiden
berkenaan.
"Kami sudah pun memanggil pihak surau dan seorang
lelaki serta wanita selain beberapa persetujuan sudah pun dibuat.
"Selebihnya pihak kami masih mengesan beberapa
individu yang turut terbabit untuk siasatan lanjut. Siasatan akan dijalankan
mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya ketika
dihubungi hari ini.
Menurutnya, polis yang tiba ketika insiden berkenaan
berlaku berjaya meredakan pergaduhan sebelum membawa mangsa ke balai polis
berdekatan untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya menasihatkan kepada
seluruh rakyat Malaysia agar tidak memperbesar-besarkan insiden berkenaan.
“Tolonglah
jaga keharmonian yang kita semua sudah capai. Janganlah hanya perkara kecil ia
diperbesarkan sehingga menyebabkan berlakunya kejadian seperti ini,"
katanya.