ALOR SETAR – Seorang
kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun patah kaki kanan selepas tersepit pada
rim motosikal yang ditunggang ibunya di Jalan Sungai Ular, Kulim, hari ini.
Dalam kejadian pada 7 pagi tadi mangsa membonceng
motosikal dalam perjalanan ke sekolah sebelum kakinya tersepit.
Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohd
Naim Mat Jaaffar dalam kenyataannya berkata pihaknya menerima panggilan
kecemasan daripada orang awam pada 7.06 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian 10
minit kemudian.
“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati kaki
mangsa tersepit pada bahagian rim motosikal sebelum operasi mengeluarkan kaki
mangsa dilakukan.
“Mangsa diserahkan kepada ambulans sebelum
dihantar ke Hospital Kulim dan operasi tamat pada 7.37 pagi,” katanya.
Sebuah jentera dengan lima anggota dari Balai Bomba dan
Penyelamat Kulim Hi-Tech terlibat dalam operasi menyelamat. – BERNAMA