WUHAN (China) – Seorang lelaki mengalami
sejenis penyakit yang menyebabkan kakinya membesar secara luar biasa hingga
mencecah berat 150 kilogram.
Liu Zhongqiu, 27, yang berasal dari Fuxing juga
diberitahu dia tidak mungkin hidup melebihi usia 20 tahun akibat penyakit
elefantiasis atau kaki gajah yang dihidapinya.
Elefantiasis yang juga dikenali sebagai penyakit untut
berpunca daripada sejenis jangkitan cacing bawaan nyamuk.
Bagaimanapun, Liu yang menghidap penyakit itu sejak
kanak-kanak, hidup mengatasi ramalan berkenaan dan terus berjuang untuk hidup.
Liu berkata, dia sudah berputus asa untuk melihat kakinya
kembali normal dan kini berjuang untuk terus hidup.
“Saya paling
takut apabila bangun pada waktu pagi dan melihat kaki saya ini meletup.
“Doktor
memberitahu saya mungkin tidak sempat menyambut ulang tahun kelahiran saya yang
ke-20. Tetapi kini saya berusia 27 tahun dan saya percaya itu satu keajaiban,” katanya.
Menurutnya, sejak beberapa tahun lalu, dia merantau dari
satu bandar ke satu bandar di China untuk mencari doktor yang mampu merawatnya.
Liu kini meminta sedekah di jalan raya di Wuhan di
wilayah Hubei dan menggunakan wang itu bagi membiayai rawatan di sebuah
hospital di situ.