SELEPAS sembilan tahun
bergelumang sebagai pelawak dengan menjuari program Raja Lawak pada
2004, Nabil Ahmad kini seakan-akan tidak selesa dengan status berkenaan.
Bagi Nabil, 34, sebelum dihina kerana gagal menggeletek
hati penonton, lebih baik dia ‘angkat kaki’ daripada pentas lawak dan
menumpukan perhatian dalam bidang pengacaraan dan aktiviti di belakang tabir.
“Saya sudah tak nak buat lawak (persembahan
televisyen). Sekarang ini saya lebih selesa buat pengacaraan.
“Saya nak buat sesuatu yang baru. Cuba kerja
belakang tabir dan buat skrip. Saya mahu orang tengok kebolehan lain yang saya
ada.
“Ada banyak cara nak kembangkan idea sebagai
pelawak. Kini saya suka tulis skrip dan tengok orang lain keluarkan lawak
saya,” katanya
kepada mStar Online.
Selain aktif mengacara, pemenang tempat ketiga Maharaja
Lawak Mega 2014 itu kini mempunyai syarikat produksi sendiri iaitu
Nabil Production Sdn. Bhd.
Menurut Nabil, dia tidak ingin memalukan dirinya sendiri
semata-mata mahu bersaing dengan generasi pelawak baharu yang mempunyai
pengikut mereka yang tersendiri.
“Sebagai pelawak kita kena tahu batasan waktu.
Buat apa nak rendahkan maruah diri untuk bersaing dengan orang muda.
“Saya pernah masuk pertandingan lawak dan tak
pernah tersingkir walaupun secara solo. Pencapaian itu tak cukup bagus?
“Jadi buat apa nak masuk sampai tersingkir?
Buat apa tunggu sampai orang dah tak suka?” katanya.
Tambah Nabil, sebagai permulaan dia bakal tampil dengan
sebuah sitkom baharu berjudul Bas Stop yang akan ditayangkan
pada 1 Jun depan menerusi saluran Astro Warna.
Sitkom pertama terbitan syarikat produksinya itu
menampilkan Sherry Alhadad, Abby Yus, Angah Raja Lawak dan Ippo Hafiz sebagai
karakter utama.
“Saya menjanjikan kelainan dalam sitkom ini.
Kami nak kembalikan fenomena sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang
popular pada masa dulu.
“Ia merupakan idea saya bersama beberapa
individu lain. Kelainan yang bakal ditampilkan termasuk merealisasikan impian
untuk membawa masuk sebuah bas persiaran ke dalam studio.
“Bas
itu bukan sekadar prop yang statik, sebaliknya ia akan bergerak membawa astis
jemputan sebelum turun di perhentian bas yang menjadi subjek utama sitkom ini,” katanya.