Kannur
(Kerala): Empat guru dipecat selepas didakwa memaksa seorang pelajar
menanggalkan colinya di tempat awam beberapa minit sebelum menduduki
peperiksaan kemasukan ke kolej perubatan di seluruh India.
Guru itu dikatakan bertindak demikian kerana bimbang
pelajar itu meniru.
Menurut pelajar itu yang namanya tidak didedahkan,
pengesan logam yang digunakan untuk mengimbas pelajar berbunyi ketika dia
melangkah masuk ke dewan peperiksaan.
“Mereka tidak membenarkan saya masuk kecuali saya
menanggalkan coli. Saya terpaksa menanggalkannya dan memberikan kepada ibu yang
menanti saya di luar,” kata pelajar berkenaan.
Lembaga Pusat Pelajaran Menengah India mengenakan syarat
ketat kepada mereka yang menduduki peperiksaan berkenaan yang diadakan serentak
di seluruh negara 7 Mei lalu.
Selain kejadian di Kerala, ada pelajar dikatakan diminta
menanggalkan tudung mereka dan tindik hidung. Beberapa sekolah juga bertindak
memotong lengan baju pelajar sebagai langkah mengelak mereka meniru.