LELAKI maut selepas
kepalanya dihentak oleh adiknya sendiri menggunakan alat pemadam api di Kampung
Sama Gagah, Bukit Mertajam, 7.50 pagi, hari ini.
Dalam kejadian itu, berlaku pertengkaran di antara
mangsa, 59, dan suspek, 48, berkaitan isu tanah pusaka sebelum suspek mengambil
alat pemadam api dan menghentak kepala mangsa.
Ketua
Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab
Hamid berkata, pihaknya yang tiba sejurus dimaklumkan mendapati mangsa
terbaring tidak sedarkan diri di luar rumah.
Beliau berkata, pihak ambulans yang tiba di lokasi
kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Katanya,
suspek kemudian ditahan anggota polis di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Ibu
Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah bagi tindakan selanjutnya.
Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302
Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Harian Metro