KUALA LUMPUR
– Dia digelar oleh rakan-rakannya sebagai Pawang Online kerana dikatakan mampu
menghalau ‘hantu’ baik secara berdepan dengan pesakit atau sekadar menggunakan
gambar mangsa dalam aplikasi WhatsApp.
Malah percaya atau tidak Aizaiscaflee Zainal Abidin,
43, sudah banyak memulihkan pesakit dan tugas sebagai perawat diakui oleh
mereka yang pernah berubat dengannya.
Lelaki berasal dari Puchong dan membahasakan dirinya
sebagai Tok itu mendakwa mampu membuang sihir melalui cara yang sama.
“Tok boleh scan (imbas) pakai tangan dalam badan orang
sama ada hantu atau tidak kemudian tarik dan buang,” ujarnya ketika ditemui
Malaysia Gazette baru-baru ini.
Berperwatakan seperti orang muda, Aizaiscaflee tidak
mengenakan pakaian seperti seorang pawang atau ustaz sebaliknya, selesa dengan
hanya memakai seluar dan berjaket jeans.
Menceritakan teknik yang digunakan, dia memberitahu,
tidak menggunakan sebarang ramuan untuk mengubati pesakit seperti amalam ruqyah
dan jampi.
Katanya, dia hanya yakin dengan sepotong ayat al-Quran
daripada surah Hud bagi mengesan makhluk halus yang mengganggu pesakitnya.
“Tidak ada barang saya guna untuk menghalau hantu atau
membuang sihir ini. Cukup hanya menggunakan ayat-ayat al-Quran.
“Saya cuma perlukan gambar orang yang terkena sihir itu
untuk diimbas bagi mengetahui ‘hantu’ yang mengganggunya.
“Saya boleh nampak makhluk itu di dalam gambar yang
dihantar,” kata bapa kepada lima orang anak itu.
Menurutnya, isterinya juga ada kebolehan mengesan
kehadiran makhluk halus kerana setiap kali berdepan dengan ‘hantu’ kaki
isterinya akan bergegar.
Bercakap mengenai kebolehannya itu, dia mendakwa tidak
pernah belajar atau berguru dengan sesiapa untuk mendapatkan ilmu tersebut.
Sebaliknya, dia yang merupakan bekas penjual sate
berkata, ilmu tersebut datang sendiri setelah dia mengalami penyakit santau
angin sebelum ini hingga keadaannya terlalu teruk.
“Saya sakit teruk dan berhabisan wang berubat tapi tak
sembuh sehingga saya belajar dan amal ayat-ayat al Quran sehingga pulih dan
dapat anugerah ini,” katanya.