KANAK-KANAK lelaki meninggal dunia akibat
kecederaan dalaman termasuk patah tulang rusuk kanan dan pankreas terkoyak di
Kajang, semalam.
Dalam kejadian 6.55 pagi itu, ibu mangsa yang baru bangun
daripada tidur menyedari pernafasan anaknya berusia dua tahun tidak stabil.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman
Nanyan berkata, mangsa terus dibawa ke Hospital Kajang oleh ibunya.
Bagaimanapun, selepas beberapa minit menerima rawatan,
mangsa disahkan meninggal dunia.
Othman berkata, pemeriksaan awal mendapati banyak kesan
merah dan bengkak di kepala dan badan mangsa.
“Hasil bedah siasat mengesan tulang rusuk sebelah
kanannya patah serta pankreas terkoyak.
"Terdapat juga banyak kesan lebam baru pada tubuh
badan mangsa,” katanya.
Susulan itu, ibu mangsa, 29, yang bekerja sebagai
pembantu taska dan teman lelakinya, 39, ditahan.
"Teman lelaki ibu mangsa juga mempunyai rekod lampau
berkait kes dadah," katanya.
Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari
ini sehingga 20 Mei.
“Kes
disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.