SEOUL – Korea Utara dilapor
menjalankan ujian peluru berpandu terbaharu pada Sabtu walaupun menerima
tekanan antarabangsa agar tidak mengadakan sebarang ujian senjata bagi
meredakan ketegangan yang semakin meningkat di rantau Asia.
Agensi berita Korea Selatan yang memetik kenyataan
tentera, Pyongyang melancarkan objek yang dipercayai peluru berpandu balistik
dari kawasan barat negara itu yang dikenali sebagai Kusong.
Lokasi tersebut merupakan tempat yang sama ketika Korea
Utara mengadakan ujian peluru berpandu jarak sederhana tidak lama dahulu.
Ujian peluru berpandu balisitik itu dilaksanakan buat
kali pertama dalam tempoh dua minggu selepas percubaan kali terakhir
melancarkan misil mengalami kegagalan.
Susulan perkembangan terbaharu itu, pakar senjata percaya
bahawa Korea Utara berjaya menyelesaikan beberapa isu teknikal yang menyebabkan
peluru berpandu gagal dilancarkan.
Sementara itu, ujian terbaharu tersebut mengundang
bantahan keras daripada Jepun apabila Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga
menyifatkan tindakan Pyongyang melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB).
Bantahan yang sama turut disuarakan oleh Perdana Menteri
Jepun, Shinzo Abe.
Sejak awal tahun ini, Korea Utara menjalani beberapa siri
ujian peluru berpandu yang mengundang kebimbangan antarabangasa terhadap cita-cita
negara itu mahu memiliki senjata nuklear.
Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat antara negara
yang memberi amaran keras kepada Pyongyang bahawa tindakan ketenteraan akan
diambil sekirannya republik tersebut masih berdegil mengingkari peraturan antarabangsa.
Kemuncaknya,
Washington mengerahkan armada tentera laut ke perairan Semenanjung Korea
sebagai langkah berjaga-jaga terhadap tindakan luar jangka oleh Korea Utara.