SEORANG wanita Indonesia terpaksa
melalui keadaan mencemaskan apabila bersalin di tempat duduk belakang sebuah
kereta selepas tiada ambulans untuk membawanya ke hospital.
Lebih menyedihkan apabila bayi lelaki yang baru dilahirkan
itu meninggal dunia selepas mereka sampai di Hospital Cut Nyak Dhien, Meulaboh,
wilayah Aceh kira-kira 2,312 kilometer dari ibu kota Jakarta.
Kompas.com melaporkan,
Linda, 20 tahun terpaksa dihantar ke sebuah hospital selepas mendapati bayinya
berada dalam kedudukan songsang.
Bapanya, Tarmizi membawa anaknya ke Pusat Kesihatan Umum
Mutulang tetapi petugas perubatan kawasan itu berkata, anaknya terpaksa
dihantar ke hospital disebabkan keadaan bayi ketika itu.
Malangnya ketika itu, tiada ambulans di pusat berkenaan
untuk membawa Linda ke hospital kerana dua ambulans yang ada digunakan dan dia
terpaksa membawanya dengan keretanya sendiri sejauh 40 kilometer untuk ke
hospital.
Tarmizi berkata, ketika tiba di Hospital Cut Nyak Dhien
Meulaboh, separuh badan bayi berkenaan sudah terkeluar dari rahim Linda dan
petugas terpaksa menguruskannya di belakang kereta.
Bayi itu bagaimanapun sudah tidak bernyawa apabila
dilahirkan, tetapi ibunya terselamat.
Menurut Tarmizi dia kecewa kerana tiada doktor dan
ambulans di pusat kesihatan umum ketika dia tiba di situ.
“Saya
menelefon pemandu ambulans. Dia kata sedang hantar jenazah. Tetapi dalam
perjalanan ke hospital, saya lihat ambulans itu di satu acara pesta,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kesihatan Wilayah Aceh Barat, Zafril
Luthfy mengesahkan kejadian itu berkata, dua unit ambulans tersebut digunakan
untuk pesakit lain.
“Ada dua
unit ambulans di Mutulang, satu unit menghantar pesakit dan satu lagi diminta
untuk menghantar jenazah,” katanya.