KUALA LUMPUR – “Saya tidak mengukur
pemain-pemain saya dengan jumlah gol yang mereka sumbangkan walaupun ia satu
benda yang perlu dibuat sebagai seorang penyerang”
Demikian ulasan Ketua Jurulatih Kelab Bolasepak Johor
Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora berhubung persembahan sulong bekas pemain
import Kelantan, Mohammed Ghaddar bersama pasukan itu malam tadi.
Kata beliau, Ghaddar telah mencuba dengan baik dalam
perlawanan itu serta banyak berlari dan melibatkan diri dalam kotak penalti,
tetapi gagal menjaringkan gol walaupun membuat beberapa percubaan.
“Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati kerana beliau
telah mencuba sehabis baik,” ujarnya dalam satu kenyataan di laman Facebook
rasmi JDT hari ini.
JDT menang 1-0 ke atas PKNS dalam aksi Liga Super 2017 di
Stadium Shah Alam, Selangor malam tadi.
Bagaimanapun, segelintir penyokong JDT mengkritik aksi
Ghaddar kerana tidak seperti yang diharapkan mereka.
Terdahulu, Mora berkata, JDT mencipta peluang memecahkan
kesukaran menghadapi pasukan PKNS malam tadi, tetapi malangnya ia bukan satu
malam yang terbaik untuk Ghaddar.
“Namun ia tidak mengapa. Beliau akan membiasakan dirinya
dengan rakan sepasukan yang lain. Beliau seorang pemain yang baik dan akan
menyumbatkan gol,” katanya.
Beliau dalam pada itu mendakwa pasukannya menghadapi
kesukaran berhadapan PKNS kerana pasukan lawan menggunakan formasi yang tidak
dijangka iaitu 5-3-2.
Menurut beliau, formasi itu membolehkan bahagian sayap
PKNS memberikan masalah kepada JDT yang menggunakan formasi 4-2-3-1.
“Saya kemudiannya menukar strategi kepada formasi
‘diamond’ dan ianya berkesan membantu kami menguatkan bahagian tengah.
“PKNS sentiasa memberi saingan dan ini agak memeranjatkan
kerana mereka beraksi berbeza sepertimana selalunya mereka bermain,” katanya.