“SAYA tak rasa apa yang saya buat itu
keterlaluan kerana tindakan berkenaan untuk mengajarnya cara beradab terutama
di hadapan pemimpin yang menjadi tuan rumah pada acara ini.
"Saya juga tidak kesal dengan tindakan ini kerana
sikap David tidak menghormati Perdana Menteri dan Rosyam selaku moderator.
Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia perlu ada adab dan hormat-menghormati,"
kata pelakon dan pelawak Sulaiman Yassin atau lebih terkenal dengan panggilan
Mat Over.
Mat Over menampar penerbit filem dan drama Datuk David
Teo sehingga sesi Dialog Transformasi Nasional TN50 Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak bersama Penggiat Seni di Seri Perdana, di Putrajaya, malam ini,
terhenti seketika.
David ditampar oleh Mat Over di hadapan Najib
dan perantara program, Datuk Rosyam Nor .
Insiden bermula apabila David menyuarakan rasa tidak puas
hati terhadap Rosyam yang tidak memandang ke arah tempat duduknya, sebaliknya
memberi fokus kepada penonton di barisan hadapan.
David menyifatkan tindakan Rosyam tidak adil kerana tidak
memberi laluan kepada mereka di barisan belakang untuk bertanya soalan dan
menyuarakan pandangan.
Dalam kekecohan mempertahankan pendapat masing-masing,
Mat Over secara tiba-tiba meluru ke depan pentas bagi memberi amaran kepada
David supaya tidak kurang ajar sambil menampar muka penerbit itu.
Di sebalik kekecohan itu, Najib dan Rosyam tetap
meneruskan dialog sehingga ke penghujung acara sehinggalah David dan Mat Over
dibawa masuk semula ke dalam dewan untuk bertemu Najib bagi menyelesaikan
perkara itu secara baik.
Mereka berdamai dengan bersalaman sambil
disaksikan Najib dan Rosyam. David dan Mat Over turut bersalaman dengan Najib
dan Rosyam.
Video kejadian itu tular dan mengundang pelbagai reaksi
daripada netizen.
Mat Over berkata, dia sudah berfikir dahulu sebelum
menampar David kerana menganggap cara penerbit filem dan drama itu kurang ajar.
Dalam pada itu, David tidak sangka Mat Over
boleh bertindak begitu kerana selama ini pun dia tidak mengenali pelakon itu.
"Tiba-tiba saja dia meluru serta menampar saya. Saya
hanya mempersoalkan tindakan Rosyam tidak menggunakan pentas bulat itu dengan
sepenuhnya dan hanya fokus satu arah di depan saja sedangkan saya juga mahu
bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri.
"Saya tidak
akan mengambil sebarang tindakan undang-undang dan sudah memaafkannya,"
katanya.