POLIS menahan dua lelaki disyaki peragut yang
terbabit dengan tujuh kes ragut di sekitar Johor Bahru, hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner
Sulaiman Salleh berkata, kedua-dua suspek berusia 25 dan 32 tahun itu ditahan
ketika berlaku kemalangan di Jalan Tun Razak berhampiran Susur 6, membabitkan
motosikal ditunggang mereka dengan Toyota Vios.
Beliau berkata, pada mulanya, kira-kira 11 pagi, anggota
Unit Kereta Peronda (MPV) menerima maklumat berhubung kejadian ragut di Jalan
Lingkaran Dalam dan Jalan Yahya Al-Datar.
Ketika polis meronda untuk mengesan suspek sejurus
menerima maklumat, anggota MPV nampak satu kemalangan membabitkan Kawasaki ER6n
berwarna merah hitam dengan sebuah kereta.
“Ketika polis hendak memberi bantuan, orang awam
memaklumkan bahawa penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan ada meragut
orang awam yang berada di tempat kejadian.
“Dengan bantuan orang awam, polis berjaya menahan
kedua-dua suspek,” katanya.
Menurutnya, polis turut merampas sembilan beg tangan
pelbagai jenama, empat dompet, pelbagai mata wang, pelbagai pasport milik
mangsa, tiga telefon bimbit, rantai leher, gelang tangan, pelbagai permit kerja
dan motosikal berkenaan yang dilaporkan hilang di Larkin pada Jun 2015.
Sulaiman berkata, hasil semakan, seorang suspek mempunyai
satu rekod jenayah lampau dan masih dikehendaki bagi membantu siasatan polis
bersabit kejadian samun di Gelang Patah, manakala seorang lagi tidak mempunyai
rekod jenayah lampau.
“Hasil siasatan lanjut, polis percaya dapat menyelesaikan
tujuh kes ragut di sekitar daerah ini pada hari ini dan dengan tangkapan dua
suspek ini, polis juga percaya dapat menyelesaikan beberapa lagi kes ragut di sekitar
Wilayah Iskandar,” katanya.
Beliau
berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.