Kota Bharu: “Saya sudah maafkan dia Yang
Arif,” kata Siti Norlizawati Ahmad, 34, ketika memberi keterangan impak mangsa
di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam terhadap kesalahan suaminya yang menendang
muka dia pada Disember tahun lalu.
Walaupun mengalami bengkak muka dan mulutnya berdarah
akibat perbuatan itu, Siti Norlizawati mengakui di hadapan Hakim Nazri Ismail
bahawa dia sudah memaafkan suaminya Sahabuddin Hanafi, 38.
Cuma katanya, mahu hukuman yang dijatuhkan dapat memberi
pengajaran kepada Sahabuddin yang dituduh melakukan kesalahan berkenaan.
“Saya berharap dia tidak akan ulangi kesalahan sama,”
katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun
terhadap tertuduh, bermula semalam.
Mengikut pertuduhan, Sahabuddin didakwa mendatangkan
kecederaan parah terhadap Siti Norlizawati di bahagian muka dan kaki di sebuah
rumah di Jalan Pengkalan Chepa, di sini, pada 11 pagi, 20 Disember 2016.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan
yang dibaca bersama 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara
maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa bergaduh dengan
mangsa selepas wanita itu menolak ajakan suaminya untuk pulang ke rumah ibunya
di Pasir Puteh.
Mangsa menolak ajakan itu kerana ingin pulang ke rumah
ibunya yang sakit.
Namun, tertuduh berang dan kemudian bertindak menyepak
muka mangsa hingga mengalami bengkak dan berdarah di mulut.
Mangsa membuat laporan polis kerana bimbangkan
keselamatan dirinya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon
hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.
“Selepas kejadian itu saya sudah insaf dan hubungan kami
sudah baik,” katanya.
Bagaimanapun,
Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias memohon hukuman setimpal untuk memberi
pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan
sama.