IPOH – Malaysia gagal menyaingi kehebatan juara bertahan,
Australia apabila tewas 1-6 dalam aksi pusingan awal Kejohanan Hoki Piala
Sultan Azlan Shah ke-26 malam ini.
Pada aksi di hadapan kira-kira 2,000 penyokong di Stadium
Azlan Shah di sini, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan pantas bagi
memburu jaringan awal apabila saling mengasak kubu lawan masing-masing.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen, bagaimanapun gagal
mempertahankan gawang mereka apabila Tom Craig menyumbat gol pertama Australia,
yang merupakan pasukan nombor dua dunia, pada minit ke-11 dan diikuti Trent
Mitton pada minit ke-23 dan 27.
Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia berjaya
memperoleh dua pukulan sudut penalti, namun gagal menghasilkan gol berikutan
kecekapan pertahahan pasukan Australia mengawal kubu mereka daripada dibolosi.
Usaha pasukan negara bagaimanapun berhasil apabila
menjaringkan gol pertama menerusi pukulan penalti Faizal Saari pada minit
ke-42, sebelum Craig menambah derita pasukan Malaysia melalui dua lagi jaringan
pada minit ke-38 dan 44.
Australia terus menggandakan asakan ke kubu Malaysia dan
Mitton menjaringkan gol keenam pasukan itu pada minit ke-58.
Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, jurulatih
Australia Colin Batch berkata beliau berpuas hati dengan persembahan anak
buahnya yang menampilkan peningkatan berbanding perlawanan semalam apabila seri
1-1 menentang New Zealand.
“Banyak yang kita belajar daripada perlawanan semalam
termasuk memanfaatkan semua peluang bagi menjaringkan gol dan Tom Craig
menunjukkan prestasi cemerlang malam ini,” katanya.
Bagi Stephen pula, anak buahnya sudah melakukan yang
terbaik pada perlawanan malam ini.
“Walaupun pemain telah berjuang habis-habisan terutama
pada 15 minit terakhir perlawanan, pada masa yang sama mereka melakukan
kesilapan sehingga membenarkan Australia menambah jaringan,” katanya.
Laluan Malaysia untuk berada dalam kelompok empat terbaik
dilihat amat sukar kerana pasukan negara perlu menang ketiga-tiga perlawanan
selepas ini.
Jadual (Selasa)
India mln Australia – 4.05 petang
New Zealand mln Jepun – 6.05 petang
Malaysia mln Great Britain – 8.35 malam – BERNAMA
New Zealand mln Jepun – 6.05 petang
Malaysia mln Great Britain – 8.35 malam – BERNAMA