MEXICO CITY: Sebelas kanak-kanak antara 14 mangsa yang terkorban
akibat letupan gudang bunga api ketika penduduk sebuah perkampungan miskin
meraikan upacara keagamaan.
Antara yang terbunuh adalah kanak-kanak berusia antara
empat hingga 15 tahun.
Seorang nenek, Carmen Rosas Tentle berkata: “Cucu saya
terperangkap dalam runtuhan apabila rumah kami meletup dan runtuh.
“Tiga cucu saya mati di tempat kejadian sementara seorang
lagi cedera.”
Kejadian di San Isidro itu melibatkan penduduk di kawasan
pertanian terpencil dengan kira-kira 40 rumah.
Penduduk San Isidro memasang bunga api untuk perayaan
awal menjelang festival di kampung itu pada hujung minggu ini.
Bagaimanapun, satu daripadanya terkena gudang yang
menyimpan bahan piroteknik untuk acara berkenaan seterusnya mengakibatkan
berlaku letupan, kata jurucakap kerajaan negeri Puebla mengenai kejadian pada
lewat Isnin itu.
Letupan itu menyebabkan 22 cedera termasuk tiga
kanak-kanak yang kini berada dalam keadaan kritikal, kata pegawai jabatan
kerajaan, Javier Lozano.
Kejadian itu berlaku lima bulan selepas tragedi
seumpamanya yang membunuh 42 orang di sebuah pasar menjual bunga api
berhampiran bandar raya ini.
Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto menerusi Twitternya
meluahkan rasa simpati kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam
kemalangan tragis itu.