Penggemar
buah durian di negara ini mempertikaikan tindakan sesetengah peniaga yang
mengambil kesempatan di atas populariti Musang King sebagai Raja Durian apabila
ia dijual pada harga terlajak mahal mencecah RM100 sekilogram sejak beberapa
minggu lalu.
Dalam tinjauan Kosmo! semalam di beberapa lokasi di Chow
Kit, Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Ampang, Selangor serta Bentong, Pahang
mendapati rata-rata peniaga meletakkan harga antara RM80 hingga RM100 untuk
sekilogram.
Ini bermakna, seorang pelanggan perlu membelanjakan lebih
RM150 hanya untuk mendapatkan sebiji Musang King bersaiz sederhana yang
biasanya seberat lebih sekilogram dengan purata antara enam hingga lapan ulas
durian.
Secara anggarannya, seorang penggemar durian terpaksa
membayar harga RM20 untuk hanya seulas durian Musang King yang dimakannya.
Jika dinikmati bersama ahli keluarga seramai lima orang
contohnya, ketua keluarga perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM700 untuk
lima biji buah durian Musang King.
Difahamkan kebiasaannya pada tahun-tahun sebelum ini,
buah durian Musang King dijual antara RM35 hingga RM50 sekilogram.
Seorang penggemar durian, Amirul Zaiq Roselan, 27
berkata, ramai pihak tidak puas hati dengan harga pasaran Musang King yang
dianggap ibarat mencekik darah.
Jelasnya, harga hampir RM100 sekilogram secara logiknya
tidak mampu dibayar oleh orang biasa melainkan seseorang yang benar-benar
meminatinya dan berduit.
“Secara logiknya memang tidak berbaloi menghabiskan
ratusan ringgit semata-mata untuk sebiji durian.
“Berdasarkan pengalaman saya, harga Musang King sebelum
ini jauh lebih murah. Saya pernah menikmatinya pada harga sekitar RM40
sekilogram.
“Namun, kali ini saya terpaksa memilih buah durian jenis
lain kerana merasakan peniaga mengambil kesempatan di atas populariti Musang
King,” katanya di sini semalam.