LELAKI ditahan polis di Kota Sarang Semut,
Alor Setar semalam kerana dipercayai terbabit dengan penipuan pelaburan mata
wang asing (forex) membabitkan jumlah keseluruhan RM3.5 juta.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Polis
Sahabudin Abdul Manan berkata, jumlah kerugian itu membabitkan lebih 10 mangsa
di sekitar negeri ini yang dijanjikan pulangan setiap dua minggu.
Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya hanya menerima
satu laporan daripada wanita dipercayai seorang daripada mangsa pelaburan yang
kerugian RM50,000.
"Suspek berusia 43 tahun ditahan pada 4.30 petang di
hadapan bank berdasarkan maklumat yang diterima. Kami turut merampas dua kad
juruwang automatik (ATM) dan telefon bimbit daripada mangsa untuk membantu
siasatan.
"Suspek kini direman selama empat hari bermula hari
ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun
Keseksaan kerana terbabit dalam penipuan.
"Sehubungan itu kita berharap supaya lebih ramai
mangsa tampil untuk membuat laporan berhubung kes itu bagi memudahkan pihak
kami menjalankan siasatan lanjut," katanya ketika ditemui pada sidang
media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, hari
ini.
Dalam majlis
itu, Superitendan Mohd Ismail Ibrahim yang sebelum ini memegang jawatan sebagai
Ketua Polis Daerah Sik menerima tugas itu daripada Pemangku Ketua Polis Daerah
Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chan Keat Seang.