Lelaki parah dihempap pintu gerbang

Lumut: Lelaki parah selepas ditimpa pintu gerbang besi di pintu masuk Armada Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini, semalam.

Dalam kejadian 2.15 petang itu, mangsa Mohd Danial Rohaizad, 29, patah peha kiri, patah jari dan benjol di kepala akibat kemalangan itu.
Lelaki parah dihempap pintu gerbang

Isteri mangsa, Raihana Ismail, 29, berkata, ketika kejadian, dia bersama suami, tiga anak, kakak dan adik perempuan dalam perjalanan keluar selepas melawat pangkalan itu sempena Hari Terbuka Armada.
Katanya, ketika itu angin kuat secara tiba-tiba sehingga menyebabkan pintu gerbang itu tumbang dan menghempap suaminya.
"Kejadian berlaku sangat pantas, sebelum itu saya sempat mendongak ke atas melihat pintu gerbang itu bergoyang dan tiba-tiba ia tumbang dan menghempap suami..... saya tergaman kerana ia berlaku sangat pantas.
"Saya hanya mampu menjerit dan ketika memangku suami dia mengadu sakit dan mencari tiga anak kami kerana bimbang anak turut menjadi mangsa namum anak sudah keluar dahulu bersama kakak.
"Saya terlambat dua saat di belakang suami kalau tidak saya pun menjadi mangsa," katanya ketika dihubungi Harian Metro, malam tadi.
Katanya, kejadian itu turut melibatkan seorang kanak-kanak namun bapa kanak-kanak itu sempat menariknya menyebabkannya hanya cedera di kaki.
"Anggota TLDM membawa suami ke Hospital Angkatan Tentera (96 HAT) untuk mendapatkan rawatan sebelum suami dipindahkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) pada 7.30 malam tadi.

"Alhamdulillah, keadaan suami kini stabil dan kami bersyukur tiada perkara yang lebih buruk berlaku," katanya./HM


Previous
Next Post »
loading...