MODEL dan pelakon tanah air yang terbabit
dalam program Asia’s Next Top Model 5, Alicia Amin tidak sangka lakonannya
dalam muzik video lagu berjudul Pisang Goreng yang kini tular mendapat reaksi
hebat peminat di Indonesia.
Alicia, 22, berkata, sebaik muzik video lagu ciptaan dan
nyanyian Sid Murshid itu dimuat naik di YouTube enam hari lalu, dia turut
mendapat liputan portal hiburan terbesar di Indonesia iaitu KapanLagi.com.
"Saya terkejut apabila ramai peminat dari Indonesia
tiba-tiba memperkatakan mengenai muzik video itu. Sambutannya di sana lebih
luar biasa berbanding di Malaysia.
"Ia mungkin disebabkan pembabitan saya dalam Asia's
Next Top Model 5. Program itu benar-benar menarik perhatian ramai peminat dari
Indonesia sehinggakan segala aktiviti seni saya mereka ikuti," katanya
kepada Harian Metro.
Bagaimanapun, ada juga yang mempersoalkan mengenai lagu
mengenai pisang goreng itu.
Mereka turut melabelkannya sebagai lagu sampah dan tidak
faham kenapa lagu itu dihasilkan.
"Saya dan Sid Murshid hanya suka-suka menghasilkan
muzik video itu. Kami gembira kerana ramai yang memberikan reaksi positif dan
sukakan idea berkenaan.
"Namun,
jika ada yang tidak menghargainya, saya tetap akan mempertahankannya kerana
usaha dicurahkan Sid untuk lagu itu bukanlah mudah," katanya.