Bukit Mertajam: Seorang lelaki dihadapkan ke
Mahkamah Majistret, di sini, semalam kerana didakwa menyebabkan kematian abang
kandungnya di Kampung Sama Gagah, dekat sini, Ahad lalu.
Tertuduh, Lim Liang Haw, 49, yang didakwa menyebabkan
kematian abang kandungnya, Lim Poh Haw, 59, mengaku tidak bersalah selepas
pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Liang Haw pada 14 Mei lalu
di hadapan sebuah rumah di Kampung Sama Gagah menyebabkan kematian Poh Haw
dengan mengetahui perbuatannya mungkin boleh menyebabkan kematian mangsa.
Pendakwa Raya Kamaliza Md Zin kemudian memohon mahkamah
menetapkan ikat jamin tertuduh RM20,000.
Majistret Jamaliah Abd Manap menetapkan ikat jamin
RM10,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin dan Liang Haw perlu
melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan manakala 10 Julai depan
sebagai tarikh sebutan semula kes.
Jika sabit
kesalahan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara
sehingga 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.