LELAKI dipercayai penagih dadah tegar nekad
mengundur dan memecut pacuan empat rodanya sehingga hampir melanggar anggota
penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan di rumah di
Palong Timur 3, Segamat hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi, suspek berusia 30-an
itu dikatakan sedang tidur di dalam pacuan empat roda di depan rumahnya ketika
sepasukan anggota penguat kuasa AADK tiba.
Penolong Pengarah Penguat kuasa AADK Johor, Hashim Abd
Jalil berkata, tindakan suspek bagaimanapun tidak mendatangkan kecederaan
kepada enam anggota penguat kuasa AADK Cawangan Segamat yang terbabit dalam
serbuan itu.
Katanya, sebaik menghampiri rumah yang dipercayai dihuni
suspek, lelaki yang tidur di dalam pacuan empat di depan rumah itu terjaga dan
menyedari kehadiran pihak berkuasa.
"Terkejut dengan kehadiran anggota AADK, lelaki itu
menghidupkan enjin dan mengundurkan kenderaannya dengan melulu hingga nyaris
melanggar anggota serbuan dalam usaha untuk melarikan diri.
"Mujur tiada anggota serbuan yang cedera dan suspek
menghilangkan diri dengan memecut laju kenderaannya," katanya.
Hashim berkata, dalam operasi itu, seramai 26 lelaki
ditahan di sekitar Palong Timur 1, 2 dan 3 menyaksikan 20 daripadanya yang
berusia 18 hingga 44 tahun didapati positif mengambil dadah selepas menjalani
saringan air kencing.
Katanya, serbuan di beberapa kediaman itu turut menemui
sejumlah 0.22 gram heroin dan 0.44 gram syabu dan semua suspek tahan untuk
siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan
Seksyen 8 (a) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983.
"Mereka kemudiannya diserahkan kepada Jabatan
Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat untuk
tindakkan lanjut," katanya.
Katanya,
pendekatan pemeriksaan awal pagi dari rumah ke rumah ke atas penagih tegar yang
dikenal pasti itu adalah hasil risikan dan maklumat awam.