NORMALINA Alias tidak kesal melepaskan
jawatannya sebagai pensyarah semata-mata ingin menjuruskan tumpuannya terhadap
al-Quran.
Normalina, 34, adalah johan kategori tilawah di Majlis
Tilawah Al-Quran dan Hafazan Antarabangsa (MTHQA) ke-59, PWTC, Kuala Lumpur,
malam tadi.
Johan qariah berusia 34 tahun itu berkata, dia tidak
kesal berhenti menjadi pensyarah bidang politik selama 10 tahun di Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Saya terpaksa tinggalkan kerjaya saya supaya boleh
memberi fokus penuh dan membuat latihan menghadapi tilawah kebangsaan dan
antarabangsa.
"Saya mengulangkaji al-Quran sekurang-kurangnya
empat jam sehari secara individu selain memperdengarkan bacaan bersama guru
selama dua jam.
"Oleh itu, selepas berhenti, Ogos 2016, saya lebih
banyak masa dengan al-Quran.
“Selan itu, saya dapat meluangkan banyak masa bersama
keluarga,” katanya ketika selepas majlis pengumuman pemenang MTHQA di Dewan
Merdeka, PWTC.
Sementara itu, johan qari dari Iran, Hamed Alizadeh
Marghzari Gholamhassan, 26, berkata, dia sudah jangka kemenangannya selepas
memperdengarkan bacaan surah kegemarannya iaitu al-Anfal.
"Biarpun saya kedua terakhir daripada 56 peserta, ia
tidak memberi tertekan kerana saya yakin mampu membuat yang lebih baik
berbanding peserta lain.
"Saya juga gembira apabila memperoleh surah
kegemaran selepas membuat cabutan. Surah yang sama memberikan saya kejayaan di
Iran," katanya.
Menurut Hamed yang mula mempelajari al-Quran ketika usia
15 tahun, dia pernah muncul johan untuk tujuh kali di Iran.
Katanya, ini adalah kali pertama dia menyertai tilawah
peringkat antarabangsa.
Seramai 89 peserta menyertai MTHQA membabitkan 56 peserta
kategori tilawah dan 33 kategori hafazan.
Mereka
mewakili 55 negara termasuk Malaysia manakala majlis berlangsung sejak Isnin
sehingga malam tadi.