Tiru bunyi F1, Lan berjaya lelong dengan harga RM15,000

Alor Setar: Persembahan spontan meniru bunyi enjin kereta lumba Formula 1 (F1) yang dilakukan pelawak terkenal tanah air Lan Pet Pet berjaya dilelong dengan harga RM15,000 sebagai usaha kebajikan kepada Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dalam Karnival Hari Penyayang 2017 di Stadium Darulaman, semalam.
Tiru bunyi F1, Lan berjaya lelong dengan harga RM15,000
Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad membuat persembahan berdurasi 15 minit itu turut meniru bunyi ambulans dan juga bunyi saksofon Getaran Jiwa yang dicipta oleh Seniman Agung negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem Antara Dua Darjat.
Persembahan yang dilakukan oleh Lan Pet Pet di hadapan lebih 1,000 pengunjung karnival itu turut mencuit hati Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim dan Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Hamid Thani Sultan Badlishah.
Malah, ia turut menarik perhatian pengarah urusan sebuah syarikat pembinaan perumahan dan hartanah, ECK Group Sdn Bhd, Tan Sri Dr Khor Eng Chuen untuk membida persembahan berkenaan dengan harga RM15,000 untuk tujuan kebajikan.
Lan berkata, persembahan spontan itu bukanlah kali pertama, sebaliknya beliau pernah melakukannya pada karnival yang sama tiga tahun lalu.

“Persembahan ini adalah sebagai sumbangan ikhlas saya bagi menarik dermawan yang hadir pada majlis ini untuk menyumbang kepada YSB untuk tujuan kebajikan,” katanya.
Previous
Next Post »
loading...