Kuantan: Berat mata memandang berat lagi bahu
memikul. Itu gambaran pengorbanan seorang ibu tunggal, Hasni Mohamed Nor, 37,
yang bukan saja menempuh kehidupan membesarkan tiga anak tanpa suami di sisi,
malah turut diduga dengan menjaga dua daripada yang menghidap penyakit kronik.
Ketika ditemui, wanita berasal dari Kampung Jaya Gading,
di sini, itu hanya mampu tersenyum apabila mengenangkan nasibnya kehilangan
suami yang menjadi tempat bergantung sejak tiga tahun lalu akibat serangan
jantung.
Katanya, dia pasrah dengan ujian Allah termasuk
membesarkan dua anaknya iaitu Nur Atiqah Ramadhan Mustapa, 7, yang menghidap
penyakit jantung bengkak serta Mohamad Haziq, 4, yang mengidap kanser darah.
“Sedih memang sedih kenangkan nasib saya yang sudah
kehilangan suami serta perlu membesarkan anak-anak.
“Tapi hidup kena teruskan dan saya yakin Allah itu ada
untuk memberikan pertolongan, kita perlu yakin dan sentiasa berdoa,” katanya.
Selain perlu menanggung perbelanjaan rawatan dan
perubatan dua anaknya yang tinggi, Hasni yang tidak mempunyai pendapatan tetap
hanya mengharapkan bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM)
dan Pusat Zakat Pahang yang berjumlah RM600 sebulan.
Ibu tunggal yang mendirikan rumah tangga pada 2004 dengan
pasangannya, Mustapa Muda, tidak terdaya lagi untuk merintih mengenangkan
nasibnya sebaliknya terus cekal menguruskan kehidupan mereka berempat walaupun
hidup dalam serba kekurangan.
“Saya pernah terfikir untuk cari kerja tapi saya tidak
boleh tinggalkan Haziq, dia memerlukan rawatan dan penjagaan rapi.
“Jika saya keluar bekerja maka kehidupan Haziq akan lebih
terabai,” katanya.
Bagaimanapun, ibu tunggal itu boleh menarik nafas lega
apabila dia turut menerima bantuan iaitu susu formula untuk anak lelaki
tunggalnya yang disumbangkan syarikat swasta sejak beberapa bulan lalu.
Dalam keadaan serba kekurangan Hasni tidak menjadikan
keperitan hidup mereka sebagai alasan untuk memberikan pendidikan buat dua anak
perempuannya.
Katanya, Nur Atiqah Ramadhan dan Nur Fatihah, 12, turut
bersekolah seperti biasa iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Damai, di sini.
Malah, dia
turut menjadikan motosikal sebagai kenderaan untuk berulang-alik mengambil dan
menghantar dua puterinya itu selain turut meminta bantuan kakaknya jika tidak
berkesempatan berbuat demikian.