Kuala Lumpur: Jabatan Mufti Negeri Selangor
menerusi laman web rasminya memaklumkan hukum pelaburan yang dijalankan
Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)
adalah harus.
Keputusan itu dibuat selepas kata sepakat dicapai pada
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-3 pada tahun ini yang
bersidang pada 27 April lalu.
Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata,
pihaknya begitu bersyukur dengan perkembangan itu dan berterima kasih kepada
mufti serta Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berhubung keputusan itu.
“Alhamdulillah dan terima kasih kepada mufti serta ahli
jawatankuasa yang memutuskan hukum harus bagi pelaburan dalam unit amanah
ASNB,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Perkembangan itu selaras dengan keputusan Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada
2008 yang memutuskan pelaburan unit amanah ASNB dan dividen serta bonus yang
diperoleh adalah harus.
Selain Selangor, negeri lain yang turut sama mengharuskan
pelaburan dalam ASNB termasuk Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak,
Pahang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Labuan, Sabah dan
Sarawak.
Pada masa sama, mesyuarat Jabatan Mufti Selangor turut
meminta PNB untuk meneruskan usaha-usaha menambah baik bagi memastikan
pelaburan itu menepati syarak sepenuhnya.
Malah, keharusan hukum pelaburan itu juga akan dikaji
semula selepas tiga tahun dengan sekurang-kurangnya peratus pelaburan patuh
syariah melebihi 75 peratus.
Abdul Wahid berkata, PNB akan menyahut ketetapan
berkenaan dan terus berusaha meningkatkan tahap patuh syariah pelaburan
kumpulan dari semasa ke semasa.
“Dengan keputusan itu, kami percaya pelabur di Selangor
lebih yakin dengan hukum pelaburan dalam unit amanah ASNB dan berharap dapat
menggalakkan mereka meningkatkan pelaburan masing-masing,” katanya.
PNB yang
mempunyai peranan sebagai firma pengurusan kewangan terbesar di Malaysia, kini
mengurus lebih 216 bilion unit saham amanah dalam edaran milik lebih 13 juta
pemegang akaunnya.