New Delhi: Kira-kira 80 pelajar perempuan
kampung Gothera Tappa Dahena di daerah Rewari, negeri Haryana enggan menghadiri
sekolah, sebaliknya mengadakan mogok lapar sejak Rabu lalu, kerana mendesak
dinaik taraf sebagai sekolah menengah tinggi.
Menurut pelajar berkenaan, disebabkan sekolah itu tidak
dinaik taraf, mereka terpaksa menghadiri kelas di Kanwali yang terletak sejauh
tiga kilometer dari kampung mereka menyebabkan mereka sering diganggu lelaki
sepanjang perjalanan ke situ.
Mereka turut mengadu perkara itu kepada ketua kampung
yang memaklumkan masalah terbabit kepada pihak berkuasa tetapi gagal mendapat
sebarang penyelesaian.
Susulan itu, kumpulan pelajar berkenaan nekad menyelesaikan
perkara itu sendiri.
Jumaat lalu, kesihatan empat pelajar perempuan yang
terbabit dalam mogok lapar itu merosot menyebabkan mereka dimasukkan ke
hospital.
“Mereka berdepan masalah pengangkutan dan gangguan
sepanjang jalan. Pelajar ini terpaksa berjalan tiga kilometer ke sekolah
menyebabkan mereka menjadi mangsa budak lelaki,” kata ketua kampung, Suresh
Chauhan.
Pegawai pendidikan daerah itu, Dharamvir Balodia berkata,
pelajar berkenaan diberi maklumat salah oleh ketua kampung dan ibu bapa mereka.
“Terdapat peraturan penting yang perlu dipenuhi sebelum
sekolah itu dinaik taraf. Sekolah menengah di kampung mereka hanya mempunyai
150 pelajar, jauh kurang daripada yang diperlukan.”
Sementara
itu, pegawai polis, Sangeeta Kalia berkata, dia secara peribadi bertanyakan isu
itu kepada pelajar perempuan di situ, tetapi tiada seorang pun mengadu
diganggu.