WANITA mendakwa dirinya diculik di Taiping, 3
Mei lalu, didapati bersalah di Mahkamah Majistret, di Batu Gajah, hari ini, dan
dihukum penjara tiga bulan atas kesalahannya itu.
Majistret Mohd Fitri Sadaruddin menjatuhi hukuman
terhadap Nurfauzilah Ariffin, 39, selepas meneliti fakta kes pendakwaan
terhadapnya yang mencipta cerita dan memberi maklumat palsu berhubung
penculikan mengenai dirinya.
Wanita yang juga isteri kepada anggota polis itu mengaku
bersalah atas perbuatannya itu.
Mengikut kertas pertuduhan, 7.30 pagi, pada 3 Mei lalu,
di kuarters polis Perak Tengah, dia didapati memberi maklumat palsu melalui
aplikasi WhatsApp dengan menghantar pesanan suara meminta tolong.
Selain itu, menerusi Messenger Facebook pula memberitahu
berada dalam tahanan seseorang dalam tulisan bahasa Indonesia.
Pendakwaan dijalankan Nurul Qistini Qamarul Abrar
manakala tertuduh diwakili peguam Hannie Soraya Hanafi.
Kes mengenai penculikan wanita yang juga peniaga online
itu tular di laman Fb, selepas status mendakwa dia diculik.
Selain itu, laporan polis oleh suaminya dimuat naik
pengguna laman berkenaan.
Wanita itu
ditahan selepas polis menemuinya sedang bekerja di Taska di Shah Alam, Selangor
dalam keadaan selamat, pada 9 Mei lalu.