ALOR SETAR – Kakak kepada suspek yang
meninggal dunia selepas dipukul oleh orang awam kerana disyaki mencabul seorang
wanita di bangunan menjual peralatan komputer dan telefon bimbit di Jalan
Putra, di sini, meminta pihak polis menjalankan siasatan terperinci berhubung
kematian adiknya itu.
Kakak mangsa yang dikenali sebagai Fizah, 20, berkata,
kejadian ini tidak patut berlaku memandangkan Allahyarham adiknya (suspek)
berusia 31 tahun tidak diberi peluang untuk membela diri dan dipukul sebegitu
rupa.
“Sejak malam tadi lagi doktor memberitahu abang tidak
mempunyai harapan untuk diselamatkan kerana otaknya sudah mati.
Kami sangat mengharapkan abang dapat kembali pulih bagi
menerangkan kejadian sebenar, tetapi Allah lebih sayangkan abang,” katanya
ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari
ini.
Fizah berkata, Allahyarham adalah anak ke empat dari
tujuh adik beradik.
Arwah menghembuskan nafas terakhir di Zon Merah HSB
tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Ahad lalu,
seorang lelaki dipukul oleh orang awam selepas dipercayai cuba mencabul seorang
wanita di dalam tandas premis tersebut.
Suspek bagaimanapun gagal melarikan diri selepas wanita
terbabit menjerit dan meronta sebelum suspek ditahan dan dipukul oleh orang
awam yang berada di premis itu.