PUTRAJAYA – Kerajaan bertegas tidak akan
menaikkan harga gula walaupun terdapat permintaan daripada pengeluar gula untuk
berbuat demikian, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Ini kerana kerajaan baru sahaja menaikkan harga gula
kepada 11 sen pada Mac lepas serta harga gula di pasaran dunia juga menurun,
katanya.
Beliau berkata kerajaan menaikkan harga gula pada masa
itu kerana ketika itu harga gula di pasaran global berada pada kadar US$0.22
hingga US$0.23 sen per paun.
“Kenapa saya
perlu berbuat demikian apabila harga gula di pasaran dunia menurun,” katanya
merujuk kepada harga gula di pasaran dunia kini yang berada pada kadar US$0.17
sen per paun.
Hamzah berkata demikian sebagai mengulas permintaan
pengilang gula MSM Malaysia Holdings Bhd untuk menaikkan harga gula kepada 29
sen ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini
hari ini.
Menurutnya , pihak pengurusan tinggi syarikat MSM
Malaysia termasuk ketua pegawai eksekutifnya telah bertemu dengan beliau
baru-baru ini untuk membincangkan perkara tersebut.
“Saya secara
tegas beritahu harga gula tidak boleh dinaikkan kecuali syarikat itu mengalami
kerugian besar-besaran.
“Tetapi MSM
Malaysia merekodkan keuntungan dan ia adalah tidak adil sekiranya kerajaan
menaikkan harga gula agar mereka boleh lipat ganda keuntungan,” katanya.
Hamzah turut melancarkan kempen #janganlebihlebih
menjelang sambutan bulan Ramadan dan Aidilfitri, dengan video kempen berdurasi
20 saat setiap satu dalam tiga siri meningkatkan kesedaran pengguna agar tidak
membazir dan berbelanja secara sederhana.
Pada majlis sama, Hamzah juga menyaksikan perjanjian
persefahaman (MoU) antara Maktab Koperasi Malaysia dan Jabatan Pembangunan
Kemahiran untuk memperkasakan pengurusan gerakan koperasi di negara Ini.