Muhammad Zul Apis Baharum, 29, dihantar pulang ke Kelantan menaiki kenderaan istana Johor selepas Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan pihak polis membebaskannya daripada tahanan reman, semalam.
Muhammad Zul Apis yang lebih dikenali sebagai Mat Tere dihantar pulang oleh pemandu istana Johor bagi memastikan kesaelamatannya tiba di Kelantan.
“Mat Tere yang telah dibenarkan pulang ke negeri Kelantan pada hari ini selepas pihak polis Johor menerima titah daripada Tunku Mahkota Johor supaya tidak meneruskan tahanan reman terhadap beliau, dan dihantar oleh pemandu Istana Johor.
“Mat Tere dibawa pulang dengan menaiki kenderaan yang telah disediakan oleh pihak Istana Johor bagi memastikan beliau sampai ke negeri Kelantan dengan selamat,” kata status di laman Facebook Johor Southern Tigers.
Mat Tere minggu lalu ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bagi membantu siasatan berhubung video kata-kata kesat menghina Tunku Ismail yang menjadi tular di laman media sosial Facebook.
Pihak polis Johor melalui satu kenyataan media juga mengesahkan Mat Tere telah dipergunakan untuk mengeluarkan satu kenyataan jelik terhadap Institusi Kesultanan Johor melalui rakaman video di Facebook.
“Pihak polis Johor mengesahkan bahawa Mat Tere telah dipergunakan. Pihak Polis Johor menjunjung titah Tunku Mahkota Johor agar menggunakan budi bicara supaya tidak meneruskan siasatan ke atas kes tersebut,” kata status lain di laman media sosial berkenaan.
Sehubungan itu, PDRM Johor turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan apa-apa rakaman video yang palsu, menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.
Kenyataan itu juga berkata, pihak polis Johor juga tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang melakukannya.